Sekiranya anda mempunyai sebarang cerita/ info atau artikel yang menarik untuk dikongsi bersama, sila email kepada kami di anak.bagandatok@gmail.com

Monday 16 May 2011

PM kesal dengan sikap angkuh Israel


OXFORD: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, Malaysia akan terus menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin meskipun akan menghadapi banyak halangan dan rintangan.

Beliau berkata, rakyat Malaysia begitu gigih dan bersemangat membantu rakyat Palestin yang sekian lama hidup dalam keadaan tertekan dan menderita akibat tindakan kejam dan zalim tentera Israel.
Melahirkan rasa dukacita terhadap insiden tembakan ke arah kapal bantuan kemanusiaan "MV Finch" milik Malaysia pada awal pagi Isnin waktu Malaysia, Perdana Menteri berkata, ia menunjukkan kezaliman rejim Tel Aviv masih lagi berterusan terhadap rakyat Palestin.

Beliau berkata, sepatutnya bantuan kemanusiaan yang dilakukan orang awam dan tidak bersenjata itu tidak boleh ditembak walaupun secara tembakan amaran.

"Ini menunjukkan bahawa mereka akan melakukan apa sahaja untuk terus menekan rakyat Palestin kerana mereka tidak mahu penduduk Palestin di Gaza mendapat bantuan kemanusiaan.

"Saya berasa amat dukacita dengan perbuatan yang begitu angkuh dan tidak berperikemanusian rejim Tel Aviv ini,' katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan Perdana Menteri ke United Kingdom, petang Isnin.

Najib mengulas insiden yang berlaku terhadap kapal "MV Finch" milik Malaysia yang membawa bantuan untuk rakyat Palestin di Gaza dihalang dua bot tentera Israel yang melepaskan tembakan amaran di perairan berhampiran Rafah pada awal pagi Isnin waktu Malaysia.
Kapal itu membawa paip PVC sepanjang 7.5 kilometer untuk membantu memulihkan sistem pembetungan yang musnah di Gaza.

Ditanya apakah Malaysia akan mengambil tindakan untuk menyuarakan bantahan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berikutan insiden itu, Najib berkata, Malaysia banyak melakukan representasi dan bersuara lantang memperjuangkan isu Palestin kepada PBB, namun ia berlalu begitu sahaja, tidak ke mana.

Mengenai lawatannya ke United Kingdom, Perdana Menteri berkata, beliau akan melakukan satu lawatan rasmi ke United Kingdom pada Julai.

Najib kerajaan gabungan baru United Kingdom berpendapat bahawa London-Kuala Lumpur perlu menghidupkan hubungan yang sudah lama terjalin antara antara United Kingdom dan Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan baru di bawah kepimpinan Perdana Menteri, David Cameron menghantar satu mesej bahawa beliau mahukan hubungan antara kedua buah negara terus hidup dan kukuh dan malah menghantar isyarat yang betul kepada yang lain bagi meningkatan hubungan.

"Ada satu lonjakan baru di peringkat atasan sebagai satu sokongan politik dan pacuan politik (bagi meningkatkan hubungan antara London-Kuala Lumpur). Saya berpendapat ia boleh dipertingkatkan dalam pelbagai bidang," katanya. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More