Sekiranya anda mempunyai sebarang cerita/ info atau artikel yang menarik untuk dikongsi bersama, sila email kepada kami di anak.bagandatok@gmail.com

Friday 18 November 2011

Pelabuhan Kargo Di Bagan Datoh Bakal Rangsang Ekonomi IMT-GT, Asia Tenggara


Sebuah pelabuhan kargo untuk perdagangan tukar barang dan pukal seperti yang dipersetujui pembinaannya di bawah kerjasana Kawasan Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) kini 60 peratus siap, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata pelabuhan yang terletak di Hutan Melintang, Bagan Datoh itu kini sedang menjalani pembinaan fasa pertama dengan kos RM60 juta yang merangkumi jeti kargo, jeti penumpang, pusat penjaja dan pasar pemborong.

“Apabila siap kelak, ia tidak hanya akan digunakan di bawah IMT-GT, sebaliknya turut membolehkan kapal-kapal kargo dari Myanmar, Bangladesh dan Dubai (UAE) menggunakan kemudahan itu. Pelabuhan ini boleh digunakan oleh kapal-kapal kargo sederhana besar,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusi mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di sini pada Rabu.

Beliau berkata konsesi pembinaan pelabuhan itu di kawasan seluas 800 hektar itu telah diberikan kepada sebuah syarikat swasta dan apabila siap kelak ia mampu menampung kargo antara 100 dan 1,000 tan metrik.

Katanya pembukaan pelabuhan itu juga akan merangsang pelaburan dan ekonomi di negeri Perak serta meningkatkan nilai perdagangan antara Indonesia, Thailand dan Malaysia serta negara-negara Asia Tenggara.

IMT-GT dibentuk pada 1993 oleh kerajaan ketiga-tiga negara untuk mempercepatkan perubahan ekonomi di wilayah yang kurang membangun. Pihak swasta memainkan peranan untuk mempromosikan kerjasama ekonomi di bawah IMT-GT.

Sejak ia dibentuk, IMT-GT telah berkembang dalam skop geografik dan aktivitinya yang merangkumi lebih 70 juta orang. IMT-GT kini melibatkan 14 wilayah di selatan Thailand, lapan negeri di Semenanjung Malaysia dan 10 wilayah di Sumatera, Indonesia.

AnakBD : Alhamdulillah, dengan pembinaan Pelabuhan yang terletak di Parit 1 Hutan Melintang ini secara tak lansung sedikit sebanyak dapat menjana ekonomi penduduk tempatan.

PerakToday

0 comments:

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More