BERSIH 3.0 benar-benar membuka mata 
rakyat Malaysia sehingga memaksa mereka yang sebelum ini hanya menjadi pemerhati 
juga mula mengambil bahagian membincangkannya di laman-laman sosial.   
Majoritinya meluahkan perasaan geram dan hairan kenapa ada manusia yang 
sanggup menghuru-harakan negara yang aman makmur ini.
Jika benar niatnya adalah untuk 
memperjuangkan pilihanraya bersih maka kenapa perlu menolak tempat yang 
ditawarkan kerajaan?  Kenapa perlu melanggar undang-undang, berarak 
dan apa perlunya merempuh polis untuk masuk ke Dataran Merdeka, iaitu kawasan 
yang dilarang?  Kita bukan dalam keadaan berperang di mana perusuh 
perlu menawan kubu penting musuh.    Justeru, apa pentingnya 
Dataran Merdeka untuk dijadikan tapak perjuangan?  Kenapa perlu 
mengambil risiko tercedera, tergadai nyawa, terjejas masa depan mengambil risiko 
dibuang kerja atau dibuang universiti kerana telah melanggar undang-undang yakni 
semata-mata untuk menawan Dataran Merdeka?
Jika sekadar ingin duduk bantah dan 
mempamerkan sokongan yang ramai,  maka duduk sajalah di dalam 
stadium di mana para wartawan boleh membuat liputan dengan mudah dan aman serta 
menunjukkan kepada dunia jumlah sokongan yang diperolehi oleh BERSIH.  
Mungkinkah kerana ingin menutup 
jumlah sokongan yang terlalu sedikit, maka BERSIH perlu membuat 
huru-hara?  
Apapun tujuan dan alasannya, apa yang 
pasti ialah pemimpin-pemimpin BERSIH jelas menyifatkan penyokong-penyokong 
mereka sebagai manusia yang tiada nilai langsung.  
Pemimpin-pemimpin BERSIH telah dengan 
sengajanya menyuruh atau membiarkan peserta melanggar undang-undang walaupun 
tahu bahawa tindakan itu akan membawa padah.   Seolah-olah nyawa 
peserta BERSIH, iaitu penyokong mereka tidak ada harga langsung!
Dan 
apabila mereka dikritik dan dipersoal tentang penyokong mereka yang diluar 
kawalan, mereka langsung tidak ingin memikul tanggungjawab.  
 Malah Ambiga secara terang-terangan, meletakkan kesalahan 
100% ke atas penyokong-penyokongnya dengan alasan beliau tidak pernah 
mengarahkan mereka untuk bertindak ganas.   Pemimpin-pemimpin 
pembangkang pula hanya menafikan sambil menuduh pihak polis sebagai menyamar dan 
memukul rakan sendiri.  
Sedangkan bukan mereka tidak tahu 
bahawa dalam mana-mana demonstrasi pasti ada kemungkinan berlaku keganasan dan 
kecederaan.   Jika tidak, kenapakah dalam setiap demonstrasi di 
mana-mana negara di dunia, kerajaan akan menugaskan polis dan pasukan anti 
rusuhan untuk bersedia.   
Pasukan polis punya kuasa dan hak 
untuk menggunakan kekerasan bagi mengawal perusuh yang tidak mematuhi 
undang-undang.  Sekiranya perusuh bertindak ganas, polis juga 
bertanggungjawab mengikut undang-undang untuk ‘menundukkan’ perusuh.  
Dan dalam kes BERSIH 3.0 ini, peserta demo telah dengan nyata merusuh, 
melanggar undang-undang dan mengganas seperti yang dijangka.  
Ini 
bukan mengejutkan dan bukan juga perkara baru, maka tindakan Ambiga enggan 
bertanggungjawab atas keganasan yang sememangnya telah dijangka mengesahkan yang 
beliau tidak pernah mempunyai sedikit pun rasa prihatin terhadap 
penyokong-penyokongnya.  
Beliau melihat penyokong-penyokongnya 
bagaikan lembu yang boleh dicucuk hidung dan dikorbankan bila-bila perlu.  
 Nyawa lembu-lembu ini tiada harga dan tiada kaitan 
dengannya.   
Ambiga juga langsung tidak bertanya 
siapa dan berapa ramai mereka yang terdera dan bagaimanakah nasib mereka selepas 
perhimpunan itu.  
Selesai BERSIH 3.0, Ambiga, Anwar, 
Kit Siang, Hadi semuanya pulang berlenggang sambil mengibas-ngibas tangan 
melepaskan segala tanggungjawab terhadap kekotoran, kemusnahan, kecederaan dan 
kesan perbuatan mereka kepada ekonomi dan imej negara.  
Fikirlah, jika penyokong sendiri yang 
sanggup mati kerana mereka juga mereka sanggup ‘lembukan’, maka sekiranya mereka 
memerintah negara ini, pastinya rakyat juga akan mereka anjingkan.









0 comments:
Post a Comment