Sekiranya anda mempunyai sebarang cerita/ info atau artikel yang menarik untuk dikongsi bersama, sila email kepada kami di anak.bagandatok@gmail.com

Tuesday, 1 March 2011

FLOM : Wanita Igauan ngeri kepada pembangkang!!!!



Tentunya sekeping hati wanita akan sedih bukan kepalang, hancur berderai, dan terkilan dengan pelbagai tohmahan dan fitnah dilemparkan kepada dirinya dan keluarga. Tentunya semangat yang membara akan terpadam jika tidak memiliki sekujur jiwa yang betah dan jitu. Namun, begitulah perihal isteri kepada Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah, seorang wanita, isteri dan insan yang mempunyai keperibadian yang sangat teguh prinsipnya.

Rosmah Mansor, bukan calang-calang wanita Melayu. Biarpun dihujani dengan kutukan dan serangan yang tidak putus-putus dari pihak pembangkang, beliau tetap utuh berdiri dengan sifat “srikandi Melayu”nya yang tersendiri. Sejak Dato’ Seri Najib menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri lagi, beliau diserang. Sehingga kini, suaminya bergelar Perdana Menteri sekalipun, beliau tetap memainkan peranannya yang istimewa sebagai satu-satunya isteri Perdana Menteri yang paling aktif dan prihatin terhadap rakyat Malaysia.

Alhamdulillah, hari ini Datin Seri Rosmah menafikan segala tohmahan tersebut. Beliau menyatakan bahawa setiap apa yang beliau ingin lakukan, pastinya akan memaklumkan kepada suaminya terlebih dahulu dan jika suaminya mengizinkan, maka barulah beliau melaksanakannya.

“Saya ingin tegaskan di sini bahawa semua itu (mengongkong) tidak benar kerana segala keputusan dibuat sendiri oleh Datuk Seri Najib. “Malah, apa jua yang saya lakukan adalah dalam pengetahuan dan perlu mendapat kebenaran daripada beliau terlebih dahulu,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada pesakit kronik di Felda Jengka 25 di sini hari ini. -Utusan

Hairannya, puak-puak pembangkang seakan-akan arif pula tentang kehidupan suami isteri Perdana Menteri dan isterinya sehingga menuduh pasangan no.1 itu dengan pelbagai fitnah. Apakah mereka tinggal sebumbung, makan semeja, tidur sekatil atau 24 jam sentiasa bersama Perdana Menteri dan keluarganya?

Datin Seri Rosmah sering dituduh sebagai “queen control” oleh segelintir pihak, terutamanya pembangkang. Namun, tuduhan tanpa asas yang kukuh itu ternyata tidak melemahkan semangat beliau untuk terus menjadikan slogan yang diilhamkan oleh suaminya terus dizahirkan melalui sentuhan istimewanya. Siapa sangka, Datin Seri Rosmah muncul sebagai “ibu” yang prihatin terhadap pembangunan minda dan pendidikan asas anak-anak kecil yang bakal menerajui negara kelak.

Program Permata yang dinaunginya itu menjadi ikutan dan contoh kepada banyak negara Islam lain di seluruh dunia. Justeru begitu, beliau diundang khas oleh pelbagai negara untuk menunjuk ajar sebuah program yang bakal melahirkan produk-produk yang berharga untuk masa depan negara – modal insan masa depan yang berkualiti.

Busuknya hati pemimpin politik pembangkang telah cuba menimbulkan persepsi buruk dikalangan rakyat terhadap usaha isteri Perdana Menteri itu. Mereka menuduh Datin Seri Rosmah hanya menghabiskan duit kerajaan dengan program Permatanya itu. Malah Perdana Menteri turut ditohmah kononnya beliau “mengikut telunjuk isteri”.

Entah dimana letaknya akal yang Allah berikan kepada mereka itu? Program itu ternyata bermanfaat kepada masa depan anak-anak kita kelak. Bak pepatah Melayu, “Melentur buluh, biarlah dari rebungnya”, itulah yang cuba dilaksanakan oleh isteri Perdana Menteri itu. Beliau cuba membina generasi akan datang yang lebih baik dan berkualiti serba serbinya. Dan salahkah seorang Perdana Menteri menyokong sesuatu yang akan memberikan pulangan yang hebat untuk masa depan negara? Itu pun nak bangkang juga, kah?

Datin Seri Rosmah bukannya buat program yang menguntungkan diri sendiri. Beliau bukannya menjual aset negara kepada Singapura atau negara asing lain. Beliau bukannya melobi projek sebagaimana yang dilakukan oleh pemimpin pembangkang di negeri-negeri jajahan pembangkang. Beliau bukannya seorang “peniaga”, beliau hanya ingin membangunkan modal insan yang lebih berkualiti pada masa akan datang.

Pemergian beliau ke negara-negara timur tengah baru-baru ini turut dipertikai dan dijadikan modal politik murahan. Beliau dituduh menghabiskan wang Kerajaan dengan lawatan tersebut. Namun hakikatnya, lawatan tersebut dibiayai sepenuhnya oleh negara-negara yang menjemput beliau ke sana! Malah, jemputan itu juga membabitkan program Permata yang ingin dicontohi oleh negara-negara tersebut. Apakah tindakannya salah juga sehingga perlu difitnah sedemikian rupa?

Mujurlah Datin Seri Rosmah teguh hatinya. Segala fitnah tersebut bagaikan menjadi “penguat semangat” kepadanya untuk terus berbakti kepada rakyat dan negara. Segala usahanya itu tidak bertentangan dengan nilai-nilai murni masyarakat di Malaysia dan penulis menyokong penuh tindakan beliau itu. Bersabarlah Datin Seri, kuatkanlah hati dan berserahlah pada Allah S.W.T. Teruskanlah usaha murni mu wahai Datin Seri, hanya Allah sahaja yang dapat membalas segala jasa baik mu…

Penulis melihat pendekatan baru wanita yang bergelar isteri kepada Perdana Menteri ini sebagai satu rahmat dari Allah S.W.T. Sebelum ini, kita dikurniakan lima orang isteri Perdana Menteri yang mempunyai pelbagai keistimewaan masing-masing. Namun, keistimewaan Datin Seri Rosmah ini bagaikan menjadi igauan ngeri untuk segelintir pihak yang ber”agenda”kan politik murahan seperti Pakatan Haram! Semoga Allah terus memberikan kekuatan, rahmat dan hidayahNya kepada Datin Seri Rosmah pada masa akan datang.

Wallahua’alam.
 
Sumber : MyMKU

0 comments:

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More