Sekiranya anda mempunyai sebarang cerita/ info atau artikel yang menarik untuk dikongsi bersama, sila email kepada kami di anak.bagandatok@gmail.com

Tuesday 17 January 2012

Hasan Ali jawab isu pemecatan, parasit dan Anwar Ibrahim



Hasan Ali pada sidang akhbar dikediaman beliau semalam mengulas.


"Kes melibatkan saya dengan parti telah diharmonikan dengan sepenuhnya. Bagi saya pemecatan saya sebagai ahli Pas adalah kerana saya menyentuh kes Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Himpunan 901.


Saya telah menasihatkan ahli-ahli Pas khususnya mahasiswa dan mahasiswi supaya tidak menghadiri himpunan tersebut. Kes tersebut adalah kes peribadi melibatkan seorang pemimpin. Bagi saya mahasiswa dan mahasiswi sepatutnya menumpukan perhatian kepada pengajian berikutan dengan minggu peperiksaan yang sedang berjalan ketika itu.


Perlu disebutkan kenyataan saya dilihat selari dengan kehendak Presiden Pas sendiri yang tidak menggalak dan tidak juga melarang ahli menyertai perhimpunan tersebut.


Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali melenting dengan kenyataan tersebut dan meminta pucuk pimpinan Pas segera memecat saya. Keesokan harinya Jawatankuasa Pas Pusat bersidang dan memutuskan secara drastik bahawa saya telah dipecat daripada menjadi ahli Pas tanpa memberi peluang kepada saya membela diri terhadap tuduhan-tuduhan yang saya sendiripun tidak dimaklumkan sehingga hari ini.


Pemecatan saya itu tidak menggunakan prosedur yang biasa diamalkan oleh mana-mana pertubuhan termasuk pertubuhan politik. Lazimnya tertuduh diberi peluang untuk membela diri terhadap tuduhan-tuduhan bertulis yang dikenakan kepada pihak tertuduh.


Bagi saya, Pas pusat yang sepatutnya mengamalkan prinsip-prinsip Islam dalam berorganisasi telah tidak mematuhi prinsip-prinsip tersebut di atas. Jelas keputusan itu dibuat secara autokratik dan menyimpang daripada asas-asas mengurus manusia dalam organisasi mengikut prinsip-prinsip Islam.


Saya yakin Presiden Pas dan lain-lain pimpinan ulama faham tentang asas-asas disiplin melibatkan manusia dalam organisasi berpandukan kepada Islam tetapi pengaruh golongan parasit dalam Pas begitu kuat sehingga pucuk pimpinan terpaksa tunduk kepada mereka.


Inilah yang sedang berlaku dalam Pas. Golongan parasit dengan jumlah yang lebih besar dan menggunakan strategi yang licik telah berjaya mengubah arah tuju Pas termasuk dalam kes pemecatan saya ini.


Saya hairan dan cuba mencari hujah yang digunakan oleh pimpinan Pas waktu membuat keputusan memecat saya. Pemecatan saya bukan atas dasar kesilapan yang saya lakukan yang telah pun diharmonikan tetapi semata-mata menegur pimpinan PKR yang menghadapi kes mahkamah yang saya katakan bersifat peribadi. Saya juga hairan bagaimana Pas boleh tunduk dengan tekanan dari PKR yang meminta saya dipecat. Apakah Pas sudah hilang maruah?"




Ulas beliau ketika ditanya mengenai pemecatan beliau sebagai ahli PAS dan juga Exco Kerajaan Negeri selangor. 


Hasan Ali juga mengulas bahawa beliau tidak ada masalah di atas pengguguran beliau sebagai Exco. " Malah saya telah bersedia secara mental dan fizikal untuk menghadapinya. Bagi saya, ini adalah asam garam perjuangan. Perkara ini tidak sedikitpun menganggu hasrat saya untuk memperjuangkan sesuatu yang paling murni dalam hidup seorang insan iaitu mengagungkan Islam.


Hanya saya tertanya-tanya apa di sebalik tindakan yang begitu tergesa-gesa untuk memecat dan menggugurkan saya. Tindakan tergesa-gesa ini seolah-olah menampakkan ada pihak yang begitu tidak sabar-sabar untuk mengeluarkan dan menggantikan tempat saya. Walhal dari segi pengguguran ahli Exco saya sepatutnya masih ada tiga minggu lagi tempoh bertenang untuk membuat keputusan yang terbaik."


Apabila ditanya mengenai siapa parasit didalam Pas, ini ulas beliau.


"Saya diberitahu Pesuruhjaya Pas Selangor dan timbalannya mencabar saya menamakan siapakah parasit yang dimaksudkan. Soal parasit ini pernah saya sebut dalam satu program, sebelum ini. Saya dan teman-teman sebenarnya bercadang untuk mengadakan ceramah-ceramah luar yang berbentuk road show. Saya telah menerima jemputan hampir seluruh Malaysia termasuk Sabah. Tujuan road show ini adalah untuk menerangkan kedudukan sebenar. Pertama, mengenai pemecatan saya daripada Pas dan keduanya, pengguguran saya sebagai Exco kerajaan Selangor. Jadi ketuanya saya tidak umumkan hari ini pengikutnya juga saya tidak umumkan hari ini. Marilah bersama-sama dalam road show saya akan datang dan saya akan maklumkan kepada tuan-tuan."


Ini pula komen Hasan Ali mengenai pertikaian Anwar Ibrahim mengenai undang-undang berkaitan kegiatan homoseksual di negara ini.


"Saya tidak akan bersetuju apa-apa cadangan untuk membenarkan kegiatan homoseksual, lesbian atau apa jua bentuk kegiatan tidak bermoral. Dalam isu ini saya juga akan rujuk kepada ulama kerana pendirian ulama bersandarkan hukum-hukum terdapat di al-Quran, al-hadis, qias dan ijmak. Ini bukan persoalan moral yang terasing dan kita harus ingat isu moral berkaitan dengan agama. Walau apa pun saya akan akur dengan pandangan ulama sama ada ulama di dalam Pas mahu pun di luar Pas berhubung isu yang diperjuangkan oleh Anwar Ibrahim bersama teman-temannya yang lain."







0 comments:

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More